Wednesday, May 12, 2010

ANTARA IQ DAN EQ…ADAKAH ANDA MEMILIKI KEDUA-DUANYA?

"Seorang pakar motivasi Malaysia, Dr. Sulaiman Masri pernah berkata “Darjah kecerdasan IQ (kecerdasan minda) tidaklah membawa banyak erti atau tidak terguna sepenuhnya jika anda tidak mengenal kecerdasan emosi (Emotional Intelligence/ EQ).” Menurut beliau lagi, menguasai emosi itu lebih penting daripada kecerdasan minda sebagai persiapan awal ke arah kejayaan hidup seseorang dalam alam dewasa nanti.Faktor kecemerlangan akademik sememangnya sangat penting dalam kehidupan masa kini namun demikian, faktor kecemerlangan emosi itu jauh mengatasi kerana itulah yang menggerakkan diri anda untuk terus survive dalam kehidupan yang serba pantas dan menyesakkan kini!

Kepada anda yang banyak membaca bibliografi orang-orang yang terkenal dengan kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi seperti Bill Gates, Thomas Alva Edison (yang hanya menerima pendidikan formal selama 3 bulan & disifatkan sebagai terencat oleh penyelianya) dan ramai lagi! Anda akan mendapati mereka bukanlah pelajar-pelajar yang begitu cemerlang dalam bidang akademik. Faktor kejayaan mereka adalah kerana mereka mengenali potensi dalam diri mereka dan dapat mengenal pasti kekuatan-kekuatan yang tersembunyi dalam diri mereka. Hasil kecerdasan emosi, mereka mengorak langkah untuk menguasai bidang tersebut walaupun kadangkala mendapat tentangan dan disifatkan ‘gila’ oleh orang lain. Cuba anda baca kisah benar ini:

"Wilbur Wright dan dan adiknya, Orville Wright adalalah pasangan adik-beradik yang pernah menerima pendidikan tinggi namun tidak mempunyai diploma. Namun, mereka sangat meminati bidang mekanik dan tertarik dengan idea bahawa manusia berupaya untuk terbang. Sebelum membina kapal terbang berkuasa enjin, mereka belajar dahulu untuk terbang menggunakan peluncur udara. Hasil pengalaman beribu-ribu kali menerbangkan peluncur udara menyebabkan mereka memahami bagaimana untuk mengawal kestabilan kapal terbang di udara. Oleh itu, mereka mula bekerja membina sayap yang praktikal di udara hasil ujian kepada lebih 200 jenis permukaan sayap yang berbeza-beza. Kemudian, masalah lain pula muncul iaitu enjin stim yang sepatutnya digunakan untuk menggerakkan kapal terbang ke udara terlalu berat berbanding kuasa yang boleh dihasilkan. Oleh kerana tiada pilihan, pasangan Wright mengambil inisiatif untuk membina enjin ringan sendiri sambil dibantu oleh seorang mekanik yang lain. Setelah 4 tahun berlalu iaitu pada Disember 1903, barulah mereka dapat membuat penerbangan yang pertama di Kitty Hawk, Carolina Utara. Penerbangan demi penerbangan dijalankan oleh pasangan Wright untuk menguji keefisienan kapal terbang yang dihasilkan. Sukar untuk dipercayai, walaupun terdapat penonton yang menyaksikan kejayaan pasangan Wright, tiada siapapun yang melaporkannya kepada akhbar untuk disebarkan. Hanya selepas 5 tahun barulah kisah penerbangan ini diketahui dunia. Namun, pada masa tersebut, masih ramai yang tidak mahu mempercayai bahawa pasangan Wright boleh terbang ke udara hinggakan sebuah akhbar edisi Paris mengecam mereka dengan tajuk berita utamanya “Flyers or Liars” dan wajah mereka terpampang pada muka hadapan akhbar tersebut. Namun, segala keraguan orang ramai berakhir apabila Wilbur Wright memandu salah sebuah kapal terbang menuju ke Perancis sebagai acara demonstrasi dan seterusnya menubuhkan syarikat untuk memasarkan ciptaan mereka di sana. Maka bermulalah era teknologi kapal terbang di seluruh dunia dan adik beradik Wright menjadi lagenda yang dikagumi sehingga kini."

Bukankah kisah ini menunjukkan bahawa hasil mengenali potensi dalam diri menyebabkan pasangan Wright bekerja keras untuk menghasilkan sebuah kapal terbang? Dalam diri mereka telah tertanam suatu azam dan keyakinan bahawa mereka pasti dapat menghasilkan sebuah kenderaan yang boleh terbang di udara walaupun ia kelihatan mustahil pada pandangan manusia biasa. Jika tidak, pasangan Wright sudah lama mengaku kalah kerana cabarannya sangat getir dari segi praktikal ditambah dengan pandangan-pandangan negatif orang sekeliling yang langsung tidak membina. Malahan, orang yang paling kuat menentang usaha pasangan Wright untuk membina kapal terbang adalah bapa mereka sendiri! Inilah yang dikatakan kecerdasan emosi iaitu mereka berjaya mengenalpasti kekuatan dalam diri, mengawal emosi dan menggunakannya pada tahap yang maksimum pada masa yang sesuai.

Kepada yang kurang cerdas mindanya, tidak usah berasa susah hati kerana kecerdasan minda adalah separuh sahaja kekuatan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan kita yang insyaallah masih panjang. Kepada yang cemerlang dalam bidang akademik, lengkapkan diri anda dengan kecerdasan emosi agar anda tidak ketinggalan dalam persaingan yang serba sengit kini! Semoga kita semua terus cemerlang!

Nota: Pernahkah anda menonton sebuah filem terbitan Walt Disney bertajuk “The Greatest Game Ever Played”. Kisah benar seorang budak ladang yang sangat minat bermain golf, tetapi mendapat tentangan daripada bapanya kerana bermain golf tidak memberi wang katanya (semasa itu, sukan golf belum lagi menjadi sukan berprestij seperti sekarang). Terharu apabila melihat akhirnya anak ladang ini berjaya menjadi champion! Sebuah filem yang sarat dengan motivasi. Sekiranya anda pernah menonton filem yang mesejnya seumpama ini sila khabarkan kepada saya! "

No comments: