Wednesday, May 12, 2010

Sungguh TABAH dan CEKAL nya gadis ini!

Mentor Ain berkata:

"Ada 2 buku yang sangat meruntun perasaan saya apabila membacanya. Iaitu buku Menggapai Bintang oleh Sheikh Mustapha Shukor (kisah angkasawan Negara) dan Catatan Hati Nik Nur Madihah (Pelajar SPM terbaik Malaysia 2008). Boleh tangkap leleh bila baca 2 buku ni kerana saya terlalu kagum dengan semangat tuan punya badan. Meluap-luap. Semangat yang boleh saya pinjam supaya saya terus bermotivasi dan terus berusaha.Tetapi kali ni yang saya nak ulas ialah buku tentang Nik Nur Madihah.

nik-nur-madihah-family.jpg

Pertama, keluarganya sangat susah, bapanya nelayan, ibunya suri rumah dan sesiapa akan terkedu melihat teratak usang keluarganya yang sangat uzur. Bayangkan kalau waktu rehat di sekolah, kawan-kawan akan bertanya ‘Kenapa Nik tak makan?’, Nik Madihah akan jawap dengan senyuman sahaja. Masa rehat, dia memerap di perpustakaan dan membaca buku. Duit belanja Nik Madihah 50 sen sehari dan itupun akan disimpan dalam tabung 10 sen sehari hinggalah dia dapat membeli buku rujukan menggunakan wang tabungnya sendiri. Dia banyak berpuasa demi menjimatkan wang. Menurut Nik Madihah, walaupun dia kurang makan, tetapi hidupnya tak pernah lapar kerana mengenangkan pengorbanan dan kasih sayang ummi dan ayahnya yang amat berlebihan. Tengok tu, makan pun tak cukup, apatah lagi nak beli barang-barang lain. Baginya, kasih sayang ibu dan ayahnya yang menjadi zat untuk menjernihkan nurani dan mencerahkan otaknya. Ha, macam mana tu, betapa Nik Madihah menghargai jasa ummi dan ayahnya walaupun mereka tidak dapat menyediakan keperluan Nik Madihah dengan sempurna. Betapa.

Kedua, Nik Madihah amat menghargai nilai wang semenjak dia dipukul oleh umminya kerana menggunakan wang RM1untuk membeli kuih etok. Masa tu umurnya baharu 6 tahun. Kata ibunya, ‘Mengapa Kak Long beli etok banyak sangat. Tahukah ini sangat membazir, kita tak selalu ada duit sayang’. Ha, macam mana tu, bagi kita RM1 tu biasa saja, tetapi bagi keluarga dia, RM1 amat-amat berharga. Oleh kerana tak mampu nak beli buku rujukan & kamus, Nik Madihah menyalin satu persatu isi kamus yang dipinjam dari rakan. Betapa!

Ketiga, Nik Madihah adalah gadis yang sangat pintar yang penuh keyakinan diri dan tidak akan mengungkit kesusahan keluarganya. Senang kata, kita lihat dia susah, tetapi hatinya sentiasa senang dan tenang kerana dia selalu bersyukur dengan apa yang ada. Inilah contoh motivasi terbaik kita selaku umat Islam. Macam saya tulis dalam blog lepas, tak kiralah kita ni miskin atau kaya, cantik atau tak, cukup makan atau tak TETAPI kalau ada kemahuan, di situ ada jalan nak berjaya! Kata kawan saya hanya orang-orang yang pernah susah sahaja akan berjaya! Ya, teori yang amat sukar untuk saya sangkal.

p/s: Bacalah buku tu untuk menambahkan keinsafan kita tentang 1001 hakikat kehidupan. Banyak pengajaran tersirat ada dalam buku tersebut (untuk orang yang mahu berfikir). Saya dah masukkan Nik Nur Madihah yang berusia 19 tahun dalam senarai IDOLA saya! "


No comments: